Saturday, June 8, 2013

PERNIAGAAN & JENAMA




Q: PENTINGKAH JENAMA KEPADA PERNIAGAAN ANDA?

Perniagaan? Apakah maksud sebenar perniagaan? Definisi perniagaan kepada setiap individu barangkali berbeza mengikut perspektif pandangan masing-masing. Pada saya, saya mentafsirkan perniagaan itu sebagai apa-apa aktiviti atau perusahaan yang dibuat untuk mendapatkan keuntungan. Perniagaan tidak bermakna ia mestilah sebuah syarikat, perbadanan, perkongsian, atau mana-mana organisasi rasmi, tetapi perniagaan boleh terdiri dari penjaja jalanan sehingga ke syarikat gergasi. 

Setiap perniagaan mestilah mempunyai produk/ servis yang ada untuk dijual bagi mendapatkan keuntungan. Seorang doktor yang membuka klinik, beliau akan menjual kepakaran beliau dalam bidang perubatan melalui khidmat nasihat/ konsultansi perubatan. Seorang pharmacist akan menjual ubat-ubatan yang beliau ada untuk mendapatkan keuntungan. Syarikat pembuat coklat akan menjual coklat-coklat yang dikilangkan untuk mendapatkan keuntungan. 

Jenama? Apa pula jenama? Jenama secara mudahnya boleh ditafsirkan sebagai nama/ simbol atau ciri-ciri lain yang digunakan oleh usahawan sebagai IDENTITI kepada barangan/ perkhidmatan beliau dengan tujuan untuk MEMBEZAKAN barangan/perkhidmatan beliau dari barangan/ perkhidmatan pihak lain. Identiti ini akan mempengaruhi penilaian pengguna terhadap fungsi dan harga emosi yang akhirnya akan memberikan  tahap pengertian terhadap produk atau perkhidmatan itu tadi. Ini seterusnya akan menambahkan nilai tanggapan pengguna/ pengusaha berkaitan terhadap produk berkenaan. Perhubungan emosi yang terjalin antara pengguna dengan produk/ perkhidmatan biasanya berkait rapat dengan nilai jenama produk/ perkhidmatan persebut.

Sebenarnya, jika dilihat secara mendalam, diri sendiri juga adalah berjenama. Siti Nurhaliza tidak mungkin sama dengan Nur Nazuha. Perbezaannya memang banyak ; samada dari segi nama itu sendiri, rupa paras, ketinggian, suara, tahap kelulusan akademik, kebolehan dan banyak lagi. Jenama ini memainkan peranan penting dalam melariskan produk/ perkhidmatan tersebut. Sekiranya saya, Nur Nazuha menjual album pada hari ini, apakah kemungkinan keuntungannya jika dibandingkan dengan Siti Nurhaliza menjual album beliau? Apakah emosi yang tercipta antara album saya dengan pengguna dan apakah pula emosi yang tercipta antara album Siti Nurhaliza dengan pengguna? 

Justeru, jenama ini memainkan peranan dan fungsi yang penting dalam sesebuah perniagaan. Untuk memastikan adanya emosi yang baik, kukuh dan hebat antara pengguna dengan produk/ perkhidmatan kita, strategi penjenamaan adalah penting. InsyaAllah kita akan bincangkan nya di post akan datang ... 

No comments:

Post a Comment