Saturday, June 8, 2013

PERNIAGAAN & JENAMA




Q: PENTINGKAH JENAMA KEPADA PERNIAGAAN ANDA?

Perniagaan? Apakah maksud sebenar perniagaan? Definisi perniagaan kepada setiap individu barangkali berbeza mengikut perspektif pandangan masing-masing. Pada saya, saya mentafsirkan perniagaan itu sebagai apa-apa aktiviti atau perusahaan yang dibuat untuk mendapatkan keuntungan. Perniagaan tidak bermakna ia mestilah sebuah syarikat, perbadanan, perkongsian, atau mana-mana organisasi rasmi, tetapi perniagaan boleh terdiri dari penjaja jalanan sehingga ke syarikat gergasi. 

Setiap perniagaan mestilah mempunyai produk/ servis yang ada untuk dijual bagi mendapatkan keuntungan. Seorang doktor yang membuka klinik, beliau akan menjual kepakaran beliau dalam bidang perubatan melalui khidmat nasihat/ konsultansi perubatan. Seorang pharmacist akan menjual ubat-ubatan yang beliau ada untuk mendapatkan keuntungan. Syarikat pembuat coklat akan menjual coklat-coklat yang dikilangkan untuk mendapatkan keuntungan. 

Jenama? Apa pula jenama? Jenama secara mudahnya boleh ditafsirkan sebagai nama/ simbol atau ciri-ciri lain yang digunakan oleh usahawan sebagai IDENTITI kepada barangan/ perkhidmatan beliau dengan tujuan untuk MEMBEZAKAN barangan/perkhidmatan beliau dari barangan/ perkhidmatan pihak lain. Identiti ini akan mempengaruhi penilaian pengguna terhadap fungsi dan harga emosi yang akhirnya akan memberikan  tahap pengertian terhadap produk atau perkhidmatan itu tadi. Ini seterusnya akan menambahkan nilai tanggapan pengguna/ pengusaha berkaitan terhadap produk berkenaan. Perhubungan emosi yang terjalin antara pengguna dengan produk/ perkhidmatan biasanya berkait rapat dengan nilai jenama produk/ perkhidmatan persebut.

Sebenarnya, jika dilihat secara mendalam, diri sendiri juga adalah berjenama. Siti Nurhaliza tidak mungkin sama dengan Nur Nazuha. Perbezaannya memang banyak ; samada dari segi nama itu sendiri, rupa paras, ketinggian, suara, tahap kelulusan akademik, kebolehan dan banyak lagi. Jenama ini memainkan peranan penting dalam melariskan produk/ perkhidmatan tersebut. Sekiranya saya, Nur Nazuha menjual album pada hari ini, apakah kemungkinan keuntungannya jika dibandingkan dengan Siti Nurhaliza menjual album beliau? Apakah emosi yang tercipta antara album saya dengan pengguna dan apakah pula emosi yang tercipta antara album Siti Nurhaliza dengan pengguna? 

Justeru, jenama ini memainkan peranan dan fungsi yang penting dalam sesebuah perniagaan. Untuk memastikan adanya emosi yang baik, kukuh dan hebat antara pengguna dengan produk/ perkhidmatan kita, strategi penjenamaan adalah penting. InsyaAllah kita akan bincangkan nya di post akan datang ... 

SAMB : KEMANA HALA TUJU PERNIAGAAN ANDA ? KISAH MAK JEMAH & JUS ASAM MAK JEMAH

Post ini adalah sambungan kepada kisah Mak Jemah dan JUS ASAM MAK JEMAH apabila syarikat Mak Jemah mendapat surat saman dari Syarikat A supaya Mak Jemah menghentikan penggunaan logo JUS ASAM MAK JEMAH atas produk beliau.

Soalan Mak Jemah kepada saya ialah "APA HAK SYARIKAT A UNTUK MEMINTA MAK JEMAH MENGHENTIKAN PENGGUNAAN LOGO JUS ASAM MAK JEMAH SEDANGKAN MAK JEMAH TELAH MENGGUNAKAN LOGO TERSEBUT SELAMA SETAHUN"

Dalam undang-undang harta intelek, kebanyakkan negara mengamalkan prinsip/ peraturan "FIRST TO FILE".

"FIRST TO FILE (FTF)"  bermaksud hak pendaftaran sesuatu harta intelek itu diberikan kepada individu/ syarikat/ pihak yang terdahulu memfailkan permohonan harta intelek tersebut bagi mendapatkan pendaftaran; tanpa mengambilkira tarikh mula penggunaan/ penciptaan harta intelek tersebut.

Prinsip FIRST TO FILE pada hari ini telah digunapakai oleh kebanyakkan negara termasuk USA. USA sebelum menggunakan prinsip FTF terlebih dahulu menggunakan prinsip FIRST TO INVENT. Selain USA, Canada dan Filipina juga merupakan negara yang sebelum ini menggunakan prinsip FIRST TO INVENT. Namun, ketiga-tiga negara ini telah menukarkan prinsip FIRST TO INVENT kepada FIRST TO FILE. Canada telah menggunapakai prinsip FTF pada tahun 1989, Filipina pada tahun 1998 dan USA adalah antara negara yang paling baru menggunapakai FTF iaitu bermula pada 16 Mac 2013.

Malaysia juga merupakan negara yang menggunapakai prinsip FIRST TO FILE. Jadi berbalik kpd kes Mak Jemah dan produk Jus Asam Mak Jemah. Memandangkan Malaysia menggunakan prinsip FTF tersebut, maka dalam kes ini sekiranya syarikat A terlebih dahulu memfailkan permohonan pendaftaran cap dagangan di PHIM, maka permohonan cap dagangan syarikat A tadi akan menggagalkan permohonan cap dagangan lain yang samada menyerupai atau seakan-akan menyerupai cap dagangan syarikat A dalam kelas produk/ servis yang sama (Saya akan terangkan tentang Kelas dalam post yang lain).

Jadi dalam kes ini, walaupun cap dagangan JUS ASAM MAK JEMAH telah digunakan oleh Mak Jemah sejak setahun yang lalu, namun kegagalan Mak Jemah untuk memohon pendaftaran cap dagangan tersebut di PHIM seawal mungkin sebelum pihak lain memohon atas cap dagangan yang sama atau seakan-akan sama,  telah memberikan peluang kepada syarikat lain untuk memonopoli harta intelek tersebut.

Dalam kes cap dagangan yang ditolak/ dibantah atas sebab menyerupai atau seakan-akan menyerupai dengan cap dagangan yang telah berdaftar, bukti penggunaan adalah tidak lagi memainkan peranan KECUALI cap dagangan yang ditolak itu terbukti sebagai "Well-Known Trade Mark" dibawah undang-undang.

Justeru, janganlah dipandang ringan kepada pendaftaran harta intelek. Tidak kiralah samada perniagaan anda baru bermula atau sudah membina jenama yang kukuh, tanpa perlindungan harta intelek, anda sebenarnya terdedah kepada satu peluang dijatuhkan oleh pihak ketiga yang lain. Selain dari itu, potensi pengkomersilan harta intelek juga amat sukar dilakukan sekiranya harta intelek anda tidak dilindungi. Tanpa perlindungan harta intelek, tanpa penjenamaan yang baik, jangan berani untuk bertanya tentang harga syarikat anda !! :)